fbpx

Kecederaan ACL Sering Berlaku?

 

Tahukah anda kecederaan ACL ataupun kecederaan ligamen lutut amat kerap terjadi? Di Malaysia, ia kerap berlaku terutama sekali dalam kalangan pemain-pemain futsal, bola sepak, tenis, badminton dan bola jaring.

 

Jenis-jenis Ligamen Lutut

 

Sendi lutut manusia merupakan antara sendi yang menanggung beban yang banyak ketika pergerakan seseorang manusia. Ia distabilkan oleh bentuk tulang peha (femur) dan betis (tibia), pelapik sendi (meniscus) serta kehadiran beberapa ligamen di sekeliling sendi lutut. Ligamen ialah struktur tubuh yang bertanggungjawab untuk menghubungkan antara tulang dan tulang.

Antara ligamen yang memainkan peranan penting adalah:

  1. Anterior Cruciate Ligament (ACL)
  2. Posterior Cricuate Ligament (PCL)
  3. Medial Collateral Ligament (MCL)
  4. Lateral Collateral Ligament (LCL)

rawatan-fisioterapi-ACL-kecederaan-ligamen-lutut-sumayya-physio-centre

Di antara struktur-struktur ini, Anterior Cruciate Ligament (ACL) merupakan ligamen yang paling kerap tercedera semasa bersukan dan menjadi sebab utama pesakit-pesakit mendapatkan rawatan. Kecederaan ini dikatakan lebih banyak berlaku dalam kalangan wanita  sebanyak tiga kali ganda melebihi golongan lelaki disebabkan perbezaan dari segi anatomi dan kekuatan otot.

 

Bagaimana Kecederaan ACL Berlaku?

 

Kecederaan pada ACL boleh berlaku disebabkan pergerakan kaki yang berpusing atau twisting ketika tapak kaki sedang berpijak di tanah (implanted foot). Ini dikenali sebagai ‘pivoting injury’. Ia juga boleh berlaku apabila seseorang berhenti secara mendadak ketika sedang berlari. Tidak kurang juga pesakit yang mengalami masalah ini akibat kemalangan jalanraya.

Kebiasaannya, individu yang mengalami kecederaan ini akan mengatakan terdapat bunyi ‘pop’semasa kecederaan itu berlaku serta sendi lutut pesakit akan berasa sakit dan membengkak dengan kadar yang cepat. Hal ini disebabkan oleh sendi lutut dipenuhi dengan darah (haemarthrosis).  Antara simptom dan tanda-tanda lain ialah kurangnya pergerakan sendi lutut, berasa sakit keliling sendi lutut bila ditekan dan lutut berasa longgar serta tidak selesa ketika berjalan.

rawatan-fisioterapi-ACL-kecederaan-ligamen-lutut-sumayya-physio-centre-2

source

Pemeriksaan Doktor Terhadap Kecederaan ACL

 

Ada beberapa perkara yang doktor akan lakukan semasa pemeriksaan. Tetapi, selalunya pemeriksaan tidak dapat dijalankan pada peringkat awal kecederaan kerana sendi lutut pesakit kebiasaannya amat bengkak dan pesakit sedang dalam kesakitan. Bengkak ini akan surut selepas 2 hingga 4 minggu selepas dituam dengan ais.

 

Prinsip “LOOK-FEEL-MOVE-SPECIAL TEST”

  • LOOK – Doktor akan melihat tahap bengkak sendi sekiranya ada, keadaan otot peha pesakit sama ada mengecil (atrophy) atau tidak serta luka atau parut sekiranya ada.
  • FEEL – Doktor akan memeriksa sekiranya terdapat sebarang kesakitan pada ligamen dan meniscus pesakit. Ia memerlukan doktor untuk menekan pada kedudukan ligamen-ligamen ini serta garisan sendi lutut (knee joint line).
  • MOVE – Doktor akan memeriksa pergerakan sendi lutut pesakit sama ada terbatas atau tidak. Bagi memastikan hasil rawatan yang optimum, pergerakan yang penuh adalah amat penting.

 

SPECIAL TEST

Ada 3 pemeriksaan khusus yang biasanya akan dilakukan iaitu Anterior Drawer Test, Lachman Test dan Pivot shift test.

 

X-ray dan MRI

Secara amnya x-ray tidak perlu dilakukan kerana ACL tidak dapat dilihat melalui x-ray. Namun sekiranya doktor merasakan terdapat kemungkinan ada berlaku kepatahan pada tulang, maka x-ray perlu dilakukan. MRI atau Magnetic Resonance Imaging pula boleh didapati di sesetengah pusat rawatan bagi melihat integriti ACL serta ligamen lutut yang lain. Mesin MRI dengan spesifikasi khusus juga dapat menunjukkan kerosakan pada tulang rawan dan meniscus.

 

Rawatan untuk Kecederaan ACL

 

Rawatan untuk ACL yang putus dibuat berdasarkan keperluan setiap pesakit secara individu. Seseorang doktor akan mengambil kira umur, tahap aktiviti pesakit, keperluan bersukan, kestabilan sendi lutut serta kecederaan struktur lutut yang lain, sekiranya ada. Rawatan yang diberi untuk pesakit terbahagi kepada dua iaitu secara tanpa pembedahan (conservatif) dan juga pembedahan (operative).

 

Tanpa Pembedahan

Kecederaan ACL boleh dirawat secara tanpa pembedahan dan ia melibatkan penggunaan brace pada peringkat awal dan fisioterapi bagi menguatkan otot peha bagi menambah kestabilan sendi lutut.

Untuk jangka masa panjang, sekiranya ACL yang putus ini tidak digantikan, ia boleh meningkatkan risiko kecederaan meniscus dan juga kecederaan tulang rawan (cartilage injury) kerana permukaan sendi lutut yang tidak rata dan sendi yang tidak stabil. Pesakit juga berisiko bagi mendapat sakit sendi lebih awal daripada yang sepatutnya (Early Osteoarthritis).

 

Pembedahan

Bagi mendapatkan kembali kestabilan sendi lutut, pembedahan menggantikan ACL yang putus perlu dilakukan (ACL reconstruction). Ligament ACL yang putus digantikan dengan menggunakan autograft iaitu dengan menggunakan urat (tendon) pesakit sendiri.

Ia melibatkan penggunaan teknik arthroscopy dimana hanya beberapa luka kecil perlu dibuat di luar lutut pesakit. Prosedur penggantian ACL ini dilakukan secara melihat kepada monitor melalui kamera yang dipasangkan pada arthroscope.

Urat tendon yang digunakan bagi menggantikan ACL yang putus pula biasanya diambil daripada pesakit sendiri. Terdapat beberapa pilihan tendon yang boleh digunakan temasuk tendon Hamstring, Quadriceps tendon dan Patella tendon. Keputusan ini bergantung kepada perbincangan antara doktor dan pesakit.

 

Rawatan Fisioterapi untuk Kecederaan ACL

 

Fisioterapi merupakan antara komponen terpenting dalam rawatan ACL. Ia dimulakan sebelum pembedahan lagi bagi meningkatkan kekuatan otot dan mendapatkan pergerakan sendi yang sepenuhnya.

Selepas pembedahan pesakit perlu menjalani program fisioterapi yang diatur khusus mengikut tahap menyembuhan pesakit. Ini bagi mendapatkan hasil terbaik dan supaya pesakit dapat kembali ke fungsi sebelum kecederan berlaku. Proses rehabilitasi selepas pembedahan ACL reconstruction ini memerlukan kerjasama dan komitmen yang sepenuhnya daripada pesakit.

Ia perlu melalui beberapa tahap bergantung kepada tempoh selepas pembedahan serta perkembangan setiap pesakit secara individu. Secara keseluruhannya, ia boleh mengambil masa sehingga 9 bulan sebelum pesakit dapat kembali bersukan dan melakukan aktiviti lasak.

 

Sekiranya anda ingin mendapatkan rawatan untuk kecederaan ACL, boleh hubungi kami di talian 010-2683758 atau terus buat tempahan secara online di https://sumayyaphysio.com/booking

 

Artikel ini ditulis oleh: NURHAYATI ROSLAN
× Boleh saya bantu?