fbpx

Anda Mengalami Sakit Tumit?

 

Pernahkah anda merasa sakit mencucuk di bahagian tumit terutama sekali pada waktu pagi, sejurus selepas tumit anda mencecah lantai?

Disini saya ingin berkongsi pengetahuan mengenai masalah yang selalu membawa pesakit berjumpa dengan doktor. Sakit tumit ini mempunyai berbagai punca. Antara punca utama kesakitan di tumit adalah penyakit yang dipanggil “plantar fasciitis”.

 

Apakah Maksud Plantar Fasciitis

 

Plantar fasciitis adalah inflamasi atau keradangan yang berlaku pada plantar fascia yang merupakan suatu tisu lembut yang terletak di sepanjang telapak kaki dan menghubungkan tulang jari-jari kaki ke tulang tumit, dikenali sebagai Plantar Fascia.

 

rawatan-sakit-tumit-sumayya-physio-centre

source

 

Inflamasi atau keradangan ini merupakan keadaan yang selalu terjadi dalam kalangan masyarakat kita. Boleh dikatakan lebih kurang 10% dari orang dewasa pernah mengalaminya, khususnya mereka yang berusia 40 hingga 60 tahun. Kajian juga menyatakan bahawa wanita memiliki risiko lebih tinggi sebanyak dua kali ganda untuk mengalami masalah plantar fasciitis.

 

Faktor Risiko Sakit Tumit

 

Terdapat beberapa perkara yang menjadi faktor risiko untuk seseorang indvidu mengalami masalah ini. Antara faktor-faktor risiko tersebut termasuklah:

 

Umur

Plantar fasciitis sering dialami oleh mereka yang berusia 40 tahun ke atas disebabkan faktor penuaan

Faktor pekerjaan atau sukan

Aktiviti tertentu yang menyebabkan beban atau stress pada tumit dan tapak kaki seperti berdiri lama, berlari dan berjalan jarak jauh, menari balet, atau aerobik.

Berat

Berat badan yang berlebihan ini akan memberikan beban yang tinggi pada plantar fascia.

Kesesuaian kasut

Memakai kasut yang tidak sesuai, keras dan tidak selesa boleh meningkatkan risiko untuk mengalami masalah Plantar Fascitis

 

Cara Kurangkan Sakit Tumit

 

Beberapa cara mudah boleh di gunakan untuk mengurangkan masalah ini ialah:

 

Memilih kasut atau selipar yang sesuai.

Apa yang dimaksudkan dengan sesuai adalah kasut yang mempunyai tapak yang lembut seperti yang diperbuat dari getah atau foam sebagaimana yang terdapat dalam kasut sukan atau menggunakan “insole” yang diperbuat dari siliko pada bahagian tumit kaki.

 

Mengurangkan berat badan.

 

Ubat tahan sakit (semasa peringkat awal diagnosis) biasanya ubat anti-radang seperti Ponstan/ Voltaren / Celebrex.

Sekiranya tidak berkesan atau sakit terlalu kuat, suntikan campuran ubat anti-radang (Steroid) dan ubat bius setempat (Lignocaine) boleh diberi pada tumit anda (plantar fascii origin). Ini akan memberi kelegaan segera. Namun, suntikan ini hanya boleh diberi maksima, 3 kali setahun.

 

Mendapatkan rawatan fisioterapi.

Fisioterapis akan meletakkan ketulan ais yang telah dibungkus dengan plastik dan kain keatas tumit yang sakit tadi ataupun melakukan rendaman ais. Senaman untuk meregangkan tisu plantar boleh dibuat beberapa kali sehari, dan disyorkan tiga kali sehari. Kajian menunjukkan senaman ini lebih berkesan jika ia dimulakan dalam masa enam minggu bermulanya sakit tumit. Seeloknya senaman untuk regangan ini dibuat pada waktu pagi, dan juga sebelum berdiri setelah duduk pada waktu yang lama.

Penggunaan terapi elektrik seperti ultrasound dan juga shockwave terapi juga banyak membantu untuk mengurangkan sakit ini dan ia bertindak untuk mempercepatkan proses pemulihan tisu rosak di kawasan yang tercedera.

 

Sekiranya anda ingin mendapatkan rawatan untuk sakit tumit, boleh hubungi kami di talian 010-2683758 atau terus buat tempahan secara online di https://sumayyaphysio.com/booking

 

Artikel ini ditulis oleh: NURHAYATI ROSLAN
× Boleh saya bantu?